Ziarah membawa berkat
Ramadan yang mulia sudah pun berlalu. Umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan menjalani ibadah puasa. Lazimnya di musim perayaan, ziarah-menziarahi adalah amalan yang akan dilakukan bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga dalam masyarakat lain, terutama sekali dalam mengunjugi rumah terbuka.
Pun begitu, terdapat juga segelintir daripada kita, terutamanya remaja-remaja tidak suka untuk ziarah-menziarahi. Malaslah. Dah besar, tak payah lah. Tengok TV lagi best. Itulah alasan-alasan remeh dan mudah, namun kesannya amat besar pada pembentukan sahsiah diri dan keluarga jika sering diamalkan.
Justeru itu, remaja dan juga ibu bapa tidak seharusnya memandang enteng kepada amalan yang mulia ini.
Ziarah dan Mahabbah
Amalan ziarah-menziarahi amat dituntut dalam Islam, apatah lagi di musim Aidilfitri. Aidilfitri membuka ruang kepada kita untuk mengaplikasikan ajaran Islam mengenai konsep berkenal-kenalan (litaarafu) dan mengeratkan silaturahim. Sekolah Ramadan yang dilalui telah mengajar dan mendidik hati untuk sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.
Puasa mendidik hawa nafsu, mengajar untuk sentiasa menginsafi nikmat yang diterima dan juga berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengutip pahala daripada amalan-amalan sunat, sedekah dan lain-lain.
Justeru, hari kemenangan menunaikan ibadah ini disambut dalam semangat mengajak manusia kembali pada fitrah dan kembali kepada kebaikan.
Jika pada bulan Ramadan manusia berusaha untuk menambah pahala amalan berpuasa, mengapa tidak di hari lebaran semangat itu dipanjangkan dengan amalan ziarah-menziarahi? Amat menyedihkan sekiranya amalan ini tidak diteruskan hanya dengan alasan terlalu sibuk dan tidak sempat untuk mengunjungi saudara mara dan rakan taulan.
Bagi remaja, kadangkala mereka lebih suka menonton rancangan-rancangan di televisyen daripada melakukan ziarah. Tambah malang lagi, jika ibu bapa sendiri tidak menggalakkan atau mengajak anak-anak mereka untuk menziarahi sanak-saudara.
Akibatnya, ikatan persaudaraan menjadi longgar dan silaturahim tidak terjalin. Keluarga akan membesar dalam sikap mementingkan diri sendiri dan tidak pedulikan tentang orang lain selagi tidak menyusahkan mereka. Ini antara lain, menggalakkan bibit-bibit perpecahan sesama umat Islam yang pada dasarnya amat menggalakkan amalan jemaah dan bersatu padu.
Mahabbah dan ukhuwah (ikatan persaudaraan) terjalin apabila ziarah dilakukan. Anak-anak mendekati ibu bapa, yang muda ingat pada si tua, kawan sekerja mengenang teman seperjuangan, orang sihat menziarahi yang sakit, yang kaya menziarahi si miskin, dan jiran tetangga kunjung-mengunjungi.
Ziarah membawa kegembiraan kepada mereka yang diziarahi, terutamanya orang tua, warga miskin, anak yatim dan yang terpaksa merayakan perayaan di dalam keadaan yang serba kekurangan. Bayangkan jika kita sudah berumur dan tidak berdaya, tinggal keseorangan menyambut hari lebaran, tentunya kita mengharapkan ada orang yang sudi melawat dan bertanyakan khabar. Sekurang-kurangnya menjadi pengubat kesepian.
Ziarah Syawal memberi peluang kepada manusia untuk bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim. Perhubungan yang terputus dapat ditaut kembali, saudara mara berkesempatan mengenali satu sama lain dan ikatan yang sedia erat akan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran si penziarah. Anak-anak yang mencari rezeki di kota harus pulang ke desa untuk meneruskan amalan ziarah-menziarahi supaya tidak lupa akan asal-usul masing-masing.
Dalam erti kata lain, amalan ini juga memberi ruang untuk manusia supaya menginsafi diri dan tidak hanya bersikap individualistik. Kehidupan setiap insan tidak sama, dan perbezaan taraf kehidupan kadangkala memberi impak kepada persepsi manusia. Namun begitu, persepsi tidak sepatutnya membolehkan orang yang berada melupakan si miskin, yang sihat tidak terkenangkan yang sakit dan apatah lagi yang muda melupakan si tua. Perasaan takbur dan sombong harus dibuang jauh-jauh kerana manusia harus sedar bahawa setiap nikmat yang dimiliki adalah anugerah Allah yang patut disyukuri dan dikongsi bersama.
Ziarah Yang Beradab
Menziarahi juga tidak terlepas daripada mengikut nilai adab dan santunnya sendiri. Tujuan berziarah haruslah disertai dengan niat yang baik, iaitu untuk mengeratkan silaturahim dan bertanya khabar. Antara adab-adab lain yang boleh dilaukan oleh kita terutamanya para remaja adalah:
Tidak mengharapkan apa-apa pulangan atau balasan dan sentiasa bermanis muka. Kadangkala tuan rumah yang diziarahi tidak mempunyai apa-apa untuk dihidangkan atau diberi, maka tidak sewajarnya kita bermasam muka atau menyebarkan hal itu kepada orang lain.
Bertanya khabar dan tidak bercakap tentang perkara-perkara yang mencemarkan kesucian menyambut Aidilfitri sehingga tidak menimbulkan rasa tidak senang pada yang dilawati. Bertanya khabar memberi tanda bahawa diri orang itu tidak dilupakan dan ada orang yang mengambil berat tentang dirinya.
Kegembiraan ini juga tidak seharusnya dicemarkan dengan perbuatan mengumpat, bercerita tentang hal-hal yang tidak berfaedah dan tidak mengambil kira akan perasaan orang lain.
Si penziarah dan yang diziarahi tidak harus lupa akan asal usul dan membangga diri. Kadangkala nikmat yang dimiliki menjadikan manusia sombong dan takbur serta lupa akan perasaan orang lain yang tidak memilikinya. Sikap menunjuk-nunjuk harus dielakkan supaya keberkatan Syawal tidak dicemari dengan perasaan iri hati dan sombong.
Setiap perbezaan fikiran dan idealisme harus ditangani dengan etika yang baik. Pertelagahan seharusnya dielakkan dengan baik dan berhikmah agar keharmonian Syawal tidak bertukar kepada pertengkaran dan rasa tidak puas hati. Ini juga adalah simbolik kepada lafaz takbir dan tahmid yang membawa asas kepada kemenangan bersatu padu.
Para ibu dan bapa harus mengajak anak-anak mereka untuk berziarah dan menunjukkan tauladan ziarah dengan adab-adab yang baik yang berhemah. Apabila anak-anak dididik dengan adab-adab berziarah yang baik, mereka akan membesar dalam suasana hormat-menghormati, sentiasa berniat baik dan juga tidak bersikap mementingkan diri sendiri.
Para remaja juga harus melapangkan dada untuk pergi bersama-sama ibu bapa mereka kerana ini perbuatan ini bukan sahaja menambah kegembiraan kepada ibu bapa mereka dan orang yang diziarahi, tetapi juga mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.
Kesimpulan
Amalan ziarah-menziarahi harus diteruskan biarpun bukan di dalam bulan Syawal kerana ziarah-menziarahi membawa asas perpaduan dan ukhuwah kepada umat Islam. Perpecahan terjadi kerana tidak adanya kesatuan dan persaudaraan. Kesatuan dan persaudaraan terjadi kerana tidak adanya semangat litaarafu (saling berkenal-kenalan) dan mahabbah.
Maka amalan ziarah-menziarahi dapat memecahkan tembok yang menjadi penghalang kepada perpaduan serta memupuk perasaan prihatin pada yang memerlukan. Justeru itu, marilah sama-sama kita meneruskan amalan mulia ini kerana amalan ini pastinya membawa seribu erti kepada kedua-dua pihak ziarah, apatah lagi di dalam bulan kemenangan ini.
Kredit untuk :
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz39bbicnEm
© Utusan Melayu (M) Bhd