CHEF OBIE & MGJ CONSULTANCY

CHEF OBIE & TEAM MGJ CONSULTANCY AKTIF MENGADAKAN KELAS / KURSUS MASAKAN PERNIAGAAAN DAN KOMERSIL POPULAR BERTESTIMONI SEJAK 2012 HINGGA KINI.
DI AMPANG , SELANGOR DAN DI BANGSAR KUALA LUMPUR.

MENJADI PILIHAN WARGA TEMPATAN , WARGA ANTARABANGSA DAN JABATAN KERAJAAN

MENJADI JURUCAKAP PELBAGAI PRODUK , PERUNDING F&B , PERUNDING MAKANAN , FOODSTYLIST , PENULIS JEMPUTAN / PHOTOSHOOT UNTUK MEDIA MASSA DAN ELETRONIK ,PERUNDING PENJUALAN HOTEL DAN RESORT JUGA PERUNDING HARTANAH DI MALAYSIA

HUBUNGI MGJ CONSULTANCY

017 2260719

017 2260719

017 2260719

email : mgjconsultancyfile@gmail.com & gunawan.jamil@gmail.com

obieber

Jumaat, 4 April 2014

Khutbah Jumaat 04.04.2014 Jakim


MEMAKMURKAN EKONOMI TANGGUNGJAWAB BERSAMA Apr 04, 2014


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“MEMAKMURKAN EKONOMI TANGGUNGJAWAB BERSAMA”
(04 APRIL 2014 / 04 JAMADILAKHIR 1435H)



Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang penuh keberkatan dan di atas masjid yang suci ini, saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “MEMAKMURKAN EKONOMI TANGGUNGJAWAB BERSAMA”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kestabilan ekonomi merupakan tunjang kepada kemakmuran sesebuah negara. Tanpa kekuatan ekonomi, sesebuah negara itu akan tercicir dan terpinggir dan tidak berkeupayaan untuk membangun modal insan apa lagi untuk membina sebuah tamadun. Atas dasar itu agama Islam menggesa umatnya agar sentiasa menjadi umat yang terbaik yang maju dari setiap sudut sama ada akhlak, politik, sosial dan juga ekonomi. Percayalah bahawa usaha untuk memajukan ekonomi negara adalah usaha yang diredhai oleh Islam kerana ia satu tuntutan yang melengkapi sistem kehidupan. Dalam usaha untuk melonjakkan imej, maruah dan jati diri umat Islam ini, maka Islam menggalakkan umatnya bekerja bersungguh-sungguh secara berkesan untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing. Firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 77:


Maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.”

Inilah masanya, seluruh umat islam mesti menjadikan jihad dalam bidang ekonomi sebagai salah satu agenda yang utama dalam hidup kita. Tiada yang mustahil untuk dikecapi jika kita gigih berusaha. Yakinlah, kedudukan umat islam pasti akan lebih kukuh jika kita berjaya menguasai bidang ekonomi.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Dalam memastikan kemakmuran ekonomi negara maka menjadi kewajipan pemerintah untuk menentukan dasar dasar termasuklah dasar percukaian. Menurut hukum Islam dan selari dengan prinsip siasah syariyyah, sesebuah negara mempunyai hak mewujudkan dasar cukai tertentu bagi menampung keperluan negara dan maslahah rakyat. Pihak pemerintah berhak memungut bayaran secara syar’ie seperti cukai perolehan dari hasil pertanian,perdagangan dan aktiviti industri dan hasil tersebut dibelanjakan untuk kemaslahatan negara dan rakyat. Di dalam Islam jelas bahawa pengambilan harta secara cukai disebut sebagai dhoribah yang membawa maksud sejenis pungutan yang dipungut oleh pemerintah dan dibenarkan oleh syarak.

Bagaimanapun dasar cukai itu hendaklah tidak membebankan rakyat jelata sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Abu Yusuf seorang ulama yang mahir dalam selok belok percukaian Islam dengan menyatakan sesebuah negara boleh menaik atau menurunkan kadar cukai mengikut kemampuan rakyat. Pandangan Imam Abu Yusuf ini amat tepat kerana untuk mewujudkan dasar percukaian baru perlu dibuat kajian teliti supaya tidak membebankan rakyat dan pengguna terutama golongan dhaif dan miskin. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 177:

Maksudnya: “Bukanlah perkara kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke pihak Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermakannya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan,dan kepada orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi;dan mengerjakan seseorang akan sembahyang, serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur, dalam perjuangan perang sabil(orang-orang yang demikian sifatnya). Mereka itulah orang-orang yang benar(beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.”.

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah

Mimbar amat bimbang budaya melengah-lengah untuk membayar cukai dan berhutang menjadi gaya hidup masyarakat Islam. Cuba bayangkan berapa banyak kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat budaya hidup sebegini, berapa banyak projek pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Sekiranya kita membayar hutang, cukai, zakat dan sebagainya, sudah pasti hasil pungutan itu dapat diagih dan digunakan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan rumah golongan fakir dan miskin, membiayai kebajikan rakyat yang memerlukan, menyedia dan melengkapkan infrastruktur kemudahan awam seperti jalan raya, hospital, masjid, sekolah dan seumpamanya. Selain itu, tunggakan hutang yang dibayar boleh mengubah situasi ke arah lebih positif selepas rakyat ditimpa bencana seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, tanah runtuh dan juga sebagai keperluan jihad di jalan Allah SWT.

Ketahuilah bahawa apabila cukai tidak dibayar bererti sama seperti melarikan diri daripada membayar hutang. Tariklah nafas kesedaran dan ingatlah, sikap suka berhutang boleh mendatangkan yang kesan buruk kepada individu, keluarga, masyarakat dan Kerajaan. Rakyat akan mengalami kesulitan dan negara akan mengalami kelembapan ekonomi disebabkan ada golongan yang cuai membayar hutang. Takutlah kepada Allah SWT kerana mereka yang berhutang tidak diampuni dosanya oleh Allah SWT. Ini selari dengan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan:

Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh sidang jumaat dan umat Islam sekalian bahawa, kita boleh memakmurkan ekonomi ummah dengan mengarapkan aktiviti perlancongan. Pada tahun ini kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif menganjurkan kempen Tahun Melawat Malaysia. Dengan adanya program ini akan meningkatkan bilangan kedatangan pelancong dari luar Negara, seterusnya berlaku pertukaran wang asing dalam negara. Umat Islam dan masyarakat boleh menyumbang untuk memakmurkan ekonomi negara melalui produk-produk pelancongan yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti eko-pelancongan, pelancongan kesihatan dan pendidikan, pelancongan produk-produk Islam, Inap Desa dan sebagainya. Bagi para usahawan pula, marilah kita mengambil peluang sempena Tahun Melawat Malaysia ini untuk mengukuhkan lagi perniagaan dan perjuangan kita dalam bidang ekonomi. Bertindaklah secara bijak dan usah kita ketinggalan. Sesungguhnya aktiviti pelancongan boleh dijadikan sebagai salah satu cara untuk memperkenal kehidupan harmoni di kalangan rakyat Malaysia serta mempamerkan nilai-nilai positif kepada para pelancong pelbagai bangsa ke dalam negara ini. Di samping kita insaf dan bersyukur di atas segala nikmat kurniaan Allah SWT ke atas kita semua khususnya nikmat kedamaian dan keamanan yang boleh mengukuhkan lagi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 46:

Maksudnya: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Mimbar juga mengambil kesempatan pada khutbah hari ini, bersempena dengan sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2014 pada 15 Mac, mimbar menyeru marilah sama-sama kita mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan menjadi pengguna dan peniaga yang bertaqwa serta bijak iaitu tidak mementingkan keuntungan dunia semata-mata bahkan mengharapkan ganjaran Allah SWT di akhirat. Mimbar ingin menyatakan bahawa tanggungjawab ini perlulah diambil berat oleh semua pihak bagi memastikan hak-hak pengguna senantiasa terjaga dan terpelihara, kerana kita yakin di era globalisasi ini pelbagai ragam dan cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi melemahkan umat Islam.
Sebagai kesimpulan khutbah minggu ini,mimbar menyeru, marilah kita semua menginsafi dan menyedari, bahawa umat yang bertaqwa dan maju yang mana mereka bebas dari kemiskinan akan menjadi umat yang kuat, bangsa yang disegani, dihormati dan mempunyai harga diri yang tinggi. Dengan demikian sekali lagi mimbar menyeru marilah sama-sama kita memakmurkan ekonomi negara dengan sama sama membantu pihak pemerintah termasuklah dengan membayar cukai yang telah ditentukan, dan mempromosikan pelancongan negara kita kerana ianya sebahagian daripada hasil pendapatan negara. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39-41:

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari kiamat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna”.

Kredit : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM )



Terima Kasih

Komen
0 Komen

Tiada ulasan:

Chef Gunawan a.k.a Chef Obie Copyright © 2015 Design by MaiGraphikDesign